Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum WBT.
Saya rasa tertarik akan artikel (atau penyataan rasa) oleh seorang 'GURU', atau pensyarah yang telah menyuarakan rasa hatinya tentang sistem kenaikan gaji buat penjawat awam baru-baru ini. Lalu, akibat tertarik, saya terpanggil untuk menulis isu ini, daripada pandangan kerdil seorang pelajar yang masih terlalu muda dan mentah untuk menilai, namun cuba untuk menjadi realistik dalam isu yang cukup hangat.
Kata pensyarah yang telahpun diberi penghormatan sebagai Profesor itu, "gaji pensyarah tidak pernah melalui penstrukturan semula berbanding gaji cikgu yang saya lihat begitu drastik perubahannya". Saya rasa, supaya tulisan kerdil ini terus kerdil, tidak perlu saya nyatakan nama Profesor tersebut. Cukuplah saya nyatakan betapa sebaris ayatnya itu membuatkan saya terfikir, sebab apa begitu drastik gaji 'cikgu' naik? Sedangkan gaji pensyarah tetap pada tahap yang sama, kalau naik pun cuma sedikit berganjaknya. Disebut lagi oleh Profesor tersebut bahawa dirinya yang bakal bersara itu bukan inginkan belas ehsan, kerana beliau tidak akan mendapat faedah pun kerana tinggal tidak berapa hari sahaja lagi akan bersara, namun sekadar meluahkan betapa tugas seorang pensyarah itu terlalu berat, dengan bayaran yang teramat sedikit, tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan, yang sudah tentu mengganggu bukan sahaja masa peribadi, malahan mengganggu kudrat badan dan akal.
Penyataan Profesor tersebut yang saya yakin bukanlah hendak merendahkan profesion 'cikgu', cuma bersandarkan pada tingkat gaji mereka, dan skop kerja 'cikgu' dengan gaji yang yang hampir sama, malahan ada yang sama dengan pensyarah itu tidaklah salah. Beliau mungkin mahu membela para pensyarah yang sekian lama bertungkus lumus memerah akal fikir, untuk memberi ilmu kepada anak bangsa., serta hanya mempersoalkan sesuai atau tidak kadar gaji sedia ada dengan tenaga kerja pensyarah. Namun begitu, selaku seorang pembaca dan pemerhati, saya cuba untuk bersikap rasional dan adil. Mungkin juga kata Profesor tersebut tidak adil pada golongan 'cikgu' yang pada pendapat saya, pasti sibuk dan sukar untuk melunaskan tanggungjawab di sekolah. Jadi, saya teruskan membaca komen-komen yang begitu banyak, sehinggalah selesai. Satu rumusan yang dapat saya simpulkan, persetujuan akal dan hati saya terhadap kata-kata Profesor seawal bacaan artikelnya tadi amat tepat. Begitu malang dan sedih apabila mentaliti golongan 'cikgu' ini dilihat amat tertutup lewat membaca komen-komen mereka. Tidaklah kesemuanya begitu, tetapi sebilangan besarnya memang menggunakan ayat yang kurang baik, dengan komen yang seakan-akan mahu mengutuk profesion orang lain.
Tidak kurang dengan lontaran kata-kata para 'cikgu' yang menulis sebegini:
"Wey, kalau kau tak puas hati, ko rasa gaji ko tak berbaloi cikgu lagi tinggi, ko resign lah pastu jadi cikgu."
"Eh, tak payah bising lah. Kerja cikgu ni susah kot. Ingat senang ke nak ajar budak? Lect ajar org besar senang ar cite."
"Dah banyak sangat complain gaji pensyarah. Klau dh
ckp gaji ckgu banyak. Asal tak jadi je cikgu? Bising je. Tak reti nak
brsyukur."
Antara komen-komen manis lontaran 'cikgu', peradaban cukup tinggi bukan? Musykil saya, kalau beginilah cara mereka bercakap, akan melentingkah kalau karma berlaku? Jika begini juga cara bertutur anak murid dengan mereka, mungkinkah mereka melenting, atau tersenyum kerana berjaya mencorak dan membentuk murid, menjadi sama seperti mereka? Paling menyedihkan, lontaran seorang 'cikgu' ini:
"Bersyukur gaji yang diteirma . jangan bandingkan gred
tapi bandingkan jumlahjam kerja antara pensayarah dan guru. pensyarah
seminggu mengajar 9 jam. tapi guru sehari sekurang-kurangnya 4 jam
seminggu 20 jam jauh bezanya. pensyarah setahun 6 bulan mengajar guru 8
bulan mengajar. kalau pentadbir lagi teruk sehri 8 jam seminggu 40 jam
tapi gred 41 saja pensyarah gred 45 kerja sehari 3 jam saja seminggu 12
jam pentadbir 41 jam."
Sebelum saya ulas fasal jam mengajar, suka untuk saya nyatakan, jika terbaca luahan rasa Profesor ini dan lanjutkan pula bacaan ke ruangan komen, lihatlah nickname yang digunakan para 'cikgu' ini. Lagi rasa mahu tergelak. Mungkin terlalu tergoda dengan nama muda-mudi 'Generasi Y' yang majoritinya gemar bersuka-ria dengan penangan teknologi, maka mereka menjadi lebih muda daripada 'Generasi Y' atau 'Generasi whY?' ini. Barangkali, pada hemat mereka, 'whY not?' untuk ikut serta dengan kerancakan globalisasi anak-anak muda. Maka boleh kita persoalkan, adakah ini kes mentaliti? Adakah terperuk di bangku sekolah membuatkan mereka terikut dengan mentaliti generasi muda? Malu pula saya membacanya, kerana apabila masuk komen atau pendapat daripada individu yang menjawat profesion lain, mereka sendiri mempersoalkan bahasa golongan 'cikgu' yang sewajarnya lebih santun, dan mindanya harus terbuka kerana bak kata mereka, bukankah tanggungjawab mereka payah untuk mendidik murid? Atau tidak malukah apabila tanpa berfikir panjang, sewenangnya mengkrtik masa pensyarah mengajar yang singkat berbanding guru?
Sepatutnya seorang 'cikgu' yang pernah masuk belajar di institusi pendidikan, yang dididik oleh pensyarah untuk menjadi seorang 'cikgu', pada tahap yang tinggi perlu tahu bahawa masa mengajar pensyarah bukan sebuah persoalan besar. Bukan sama sekali. Malah menghairankan apabila mereka semudah itu mengatakan bahawa sewaktu pelajar sedang bercuti, para pensyarah boleh berehat. Tidakkah mereka tahu, bahawa ketika pelajar sedang bercuti itulah, para pensyarah akan berganda-ganda sibuknya. Pada ketika itulah pensyarah akan diminta untuk membentang kertas kerja, menjalankan penyelidikan, diminta menulis artikel, memberi ceramah di sana sini, membuktikan sesebuah kajian atau penemuan baharu, yang terlalu payah tugasnya. Bukan sekadar key-in markah pelajar mengikut sistem pentadbiran, mengajar dengan membaca buku teks, ataupun tanda kerja rumah pelajar, kemudian balik usai tamat waktu persekolahan, atau beberapa jam selepas tamat sesi sekolah kerana ada acara ko-kurikulum, yang guru persatuannya dua-tiga orang. Kerja individu mereka jauh lebih besar. Lupakah mereka, ketika mereka belajar, pensyarah bukan sahaja sibuk dengan tugas sendiri, bahkan perlu mengajar pelajar ijazah, dan perlu memantau juga pelajar sarjana, dan doktor falsafah? Lupakah mereka bahawa pensyarah itu perlu melahirkan pemikir setelah dia sendiri penat berfikir, sehinggakan di institusi-institusi pengajian tinggi, kalau berjalan di hadapan pejabat pensyarah, sehingga larut malam pun, bilik mereka masih dilimpahi cahaya. Cahaya yang 'nur'nya melimpah untuk mencurahkan ilmu pada anak bangsa. Adakah mereka berkira waktu, dengan kadar gaji yang sama dengan 'cikgu' sebentar tadi? Lewat komen juga, kata individu-individu yang menjawat profesion lain - tidak bolehkah para 'cikgu' ini bertutur dengan baik, kenapa golongan 'cikgu' amat dahsyat penggunaan bahasanya? Alahai, malunya!
Saya menjadi lebih yakin, kalau pensyarah itu benar-benar mahu gajinya ditngkatkan, beliau akan menyuarakan ini lebih awal, ketika hidupnya memerlukan wang untuk kegunaan keluarga, atau keperluan keinginannya. Namun begitu, suaranya itu cuma diluahkan ketika beliau sedang meniti ambang persaraan. Adakah wang yang diinginkan? Atau beliau meluahkan supaya kuasa 'politik' sedar bahawa kuasa mereka jangan disalah gunakan buat memenuhi permintaan guru-guru yang ramai, yang ditingkatkan gaji mereka supaya mengundi orang politik yang mahu memenuhi kehendak rakus kuasa mereka. Juga mungkin sekadar peringatan untuk mereka lebih menghargai pemberi ilmu, dan jangan mencampur-adukkan politik dalam bidang ilmu, yang seharusnya sangat dihormati. Seperkara lagi, kecintaan pensyarah itu jauh bezanya daripada 'cikgu', untuk menumpahkan ilmu. 'Cikgu', hanya perlu memenuhi syarat pengijazahan untuk menjadi seorang 'cikgu', tetapi seorang pensyarah perlu belajar setingkat, kemudian setingkat lagi. Masakan mereka tidak mencintai ilmu dan mahu mengejar kewangan? Fikirkanlah kudrat mereka, dan fikirkan juga ketelusan hati mereka untuk mendidik. Takkan kepayahan belajar akan disia-siakan sebegitu mudah?
Dan akhirnya, saya berbual dengan kakanda saya tentang satu perkara - layakkah 'cikgu' digelar atau dipanggil 'cikgu'? Jawab kakanda saya, layak! Saya menyoal kembali, mahu tahu wajarannya, lalu dijawab:
"Kerana kita lihat, di Indonesia, 'cikgu' ini dipanggil 'guru', bukan 'cikgu'. Sebutannya lebih murni. 'Cikgu' sekadar mengajar. Kalau mengajar, benda tak elok pun boleh mengajar. Tapi takrif 'guru' bertepatan dengan mendidik. Kalau mendidik, konotasinya berbeza. Mendidik sesuai untuk yang baik-baik atau murni sahaja. Jadi kalau begitulah sifatnya 'cikgu' di Malaysia, wajarlah mereka digelar 'cikgu', dan kita lihat bagaimana ilmu berkembang dengan baik, oleh para 'guru' di Indonesia.
Sekian, tetapi bukan semua 'cikgu' begini. Ada yang betul niat dan kecintaannya mengajar, maka 'cikgu' itu sebetulnya perlu digelar 'guru', kerana sesungguhnya terlalu murni tugas seorang 'cikgu'.
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment